JASIN - Dua beradik melalui pengalaman menakutkan apabila dibelasah nenek saudara sendiri bersama sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Masjid Kampung Hulu, Bandaraya Melaka, Sabtu lalu.
Lebih mengejutkan, kejadian kira-kira 8.30 malam itu berlaku di pekarangan sebuah masjid di daerah ini, turut disaksikan beberapa ahli kariah.
Difahamkan, wanita berkenaan datang ke masjid untuk melakukan akuan sumpah bagi membersihkan nama seorang lagi adiknya yang difitnah saudara sendiri, kononnya terlibat dalam kegiatan minum arak.
Bagaimanapun, imam masjid berkenaan tidak membenarkannya kerana sebarang akuan sumpah mesti mendapat kebenaran jabatan agama Islam, menyebabkan wanita terbabit beredar dari masjid.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zila, 22, berkata, sebaik saja dia bersama tiga adiknya serta seorang rakan berjalan keluar dari masjid, bajunya tiba-tiba ditarik nenek saudaranya yang berusia lingkungan 50-an.
Menurutnya, selepas itu, seorang lelaki tidak dikenali menahannya dan menampar mukanya beberapa kali sebelum didatangi seorang lagi lelaki lalu menumbuk hidungnya sehingga berdarah.
Zila berkata, adik ketiganya, yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 18, turut cuba membantu, namun ditampar seorang lelaki sebelum ditolak seorang bapa saudaranya sehingga nyaris terjatuh ke dalam longkang.
Menurutnya, tidak berakhir di situ kerana ketika cuba melarikan diri ke kereta datuknya, dia dan adiknya dihalang pula tidak kurang 10 lelaki yang menunggu di luar masjid.
"Mereka langsung tidak peduli kariah masjid yang ada di situ. Kariah masjid beberapa kali menjerit 'hormati masjid, hormati Masjid'.
“Ketika saya dipukul, beberapa lelaki mengambil kesempatan mencabul saya dan adik. Kejadian itu turut disaksikan dua lagi adik saya yang berumur 20 dan 9 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Bukit Sedanan, semalam.
Kejadian itu menyebabkan Zila cedera di hidung, mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, sebelum membuat dua laporan di Balai Polis Melaka Tengah dan Balai Polis Selandar.
Sementara itu, datuk mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Daud (bukan nama sebenar), 66, berkata, dia sedih dengan nasib menimpa cucunya.
Menurutnya, dia tergamam dan tidak dapat membantu cucunya ketika dipukul, sebaliknya hanya terdengar jeritan.
“Saya terkejut melihat beberapa lelaki mengepung cucu saya dan mencederakan mereka sebelum saya menyelamatkan mereka ke dalam kereta,” katanya.
Berikutan kejadian itu, katanya, dia sudah berbincang dengan ahli keluarga lain dan nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat termasuk saudaranya sendiri.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/cedera-dipukul-nenek-saudara-1.193576
No comments :
Post a Comment